Sifat Formicinae adalah aktif dan bergerak pantas. Secara keseluruhannya sub-keluarga Formicinae ini aggresif bila diganggu terutamanya bila sarangnya terancam. Mereka menyerang dengan menggunakan madibel yang kuat dan menyemburkan asid Formic. Sifat-sifat sub-keluarga inilah yang diwarisi oleh Oecophylla smaragdina.
Ciri-ciri asas sub-keluarga Formicinae:
Petiol Tunggal
Gaster yang licin
Rerambut pendek di kawasan ’Acidopore’
Tiada ’sting’
Kerengga berada di dalam sub-keluarga Formicinae, bangsa (tribe) Oecophyllini dan genus Oecophylla.
Terdapat dua spesisnya iaitu:
O.smaragdina dan O.loginoda. (setakat yang diketahui dan popular dikalangan entomologist). Wheeler (1922) telah mengemukakan criteria mudah untuk membezakan antara kedua spesis ini iaitu smaragdina mempunyai petiol yang agak kurus manakala longinoda mempunyai petiol yang besar dan tinggi.
Manakala mengikut sumber ITIS (Integrated Taxonomic Information System), disenaraikan sebanyak 13 spesis yang berlainan. Iaitu:
Oecophylla atavina (Cockerell, 1915)
Oecophylla bartoniana (Cockerell, 1920)
Oecophylla brischkei (Mayr, 1868)
Oecophylla crassinoda (Wheeler, 1922)
Oecophylla leakeyi (Wilson & Taylor, 1964)
Oecophylla longinoda (Latreille, 1802)
Oecophylla megarche (Cockerell, 1915)
Oecophylla obesa (Heer, 1850)
Oecophylla perdita (Cockerell, 1915)
Oecophylla praeclara (Foerster, 1891)
Oecophylla sicula (Emery, 1891)
Oecophylla smaragdina (Fabricius, 1775)
Oecophylla superba (Theobald, 1937)
Spesis yang mempunyai taburan di kawasan Asia Tenggara adalah dari spesis O.smaragdina. Dipanggil dengan nama tempatan sebagai ‘Kerengga’. Kerengga adalah serangga arboreal yang mendiami pokok-pokok berdaun lebar. Bersifat eusosial dan mempunyai struktur koloni yang boleh mencecah setengah juta pekerja. Mempunyai badan yang besar dan sifatnya yang aggresif terdapat ancaman luar dan juga memburu. Kerengga membina sarangnya dengan daun pokok yang didiaminya. Menenun dan melekatkan helaian daun itu dengan menggunakan sutera yang dihasilkan dari larva (Hölldobler 1983;Hölldobler & Wilson 1990).
Bagi pekerja major saiz ukurannya lebih kurang 8 hingga 10 milimiter panjang, manakala bagi pekerja minor saiznya lebih kecil dari pekerja major. Sistem kasta kerengga ini mewujudkan kaedah pembahagian kerja yang baik. Pekerja major melaksanakan kerja seperti mencari makanan dan mempertahankan koloni. Manakala pekerja minor kebanyakan masanya mendiami sarang untuk menjaga telur, larva dan ratu kerengga.
Kerengga digunakan sebagai ’Pesticide Hidup’ untuk kaedah kawalan biologi terhadap tanaman di China (Konishi & Itô 1973; Hölldobler & Wilson 1990). Kaedah ini juga sering digunakan di Asia Tenggara amnya dan Malaysia khususnya. Para petani di Malaysia menggunakan kerangga untuk mencegah serangga perosak seperti lalat buah Bactrocera sp.
Mewarisi sifat sub-keluarga Formicinae, kerengga tidak mempunyai sengat (sting), kerengga menggigit musuh dengan rahangnya yang kuat dan kemudiannya menyemburkan asid formic ke kawasan gigitan yang memberikan keadaan tidak selesa.